Berbeza Itu Ok!

Teks: Azura Abdullah
Foto: Azura Abdullah

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera,

20160226_161336

Tersengih juga melihat diskusi antara antara anak-anak dalam group keluarga. Oleh kerana rakan-rakan terdekat tahu anak-anak saya boleh bertutur dalam bahasa Mandarin makanya kadang-kadang mereka bertanya soalan dan mohon bantuan terjemahan.
Cerita tentang bahasa Mandarin ini mengingatkan saya ketika cuti akhir tahun, awal bulan Disember 2005 apabila Irfan bertanya saya nanti darjah satu beliau akan ke sekolah mana. Saya pun beritahu yang sudah didaftarkan ke sekolah kebangsaan berdekatan.
“Ibu, orang tak buleh pi sekolah tu sebab orang dah janji dengan kawan-kawan van orang, yang orang pi SJKC Hwa Min jugak. Awat ibu tak tanya orang dulu.”
Adoi la! Lagu mana ni. Saya panik habis waktu tu. Irfan buat terjunan gaya bebas pulak dah.
“Irfan jangan buat lagu ni kat Ibu. Ibu dah daftar Irfan kat SK Sungai Seluang baru ni.”
“Tak tau la. Orang tau orang sekolah di SJKC Hwa Min. Ibu lah kot pi SK Sungai Seluang. Orang tak mau sekolah lain. Dah janji dengan kawan-kawan van tadika.”
Ai! Budak ni …
Memang saya ghaplah habis. Pening saya dan suami fikir kerana Irfan berada 3 tahun di tadika aliran bahasa Inggeris dan Melayu bukannya Mandarin. Mandarin memang zero, waktu itu Irfan berumur 6 tahun.
Setelah fikir dan berbincang dengan suami serta Irfan sendiri, saya ke pejabat SK Sungai Seluang dan SJKC Hwa Min menguruskan pertukaran. Saya dan suami berbincang panjang dengan Irfan macam orang dewasa dan terangkan pro dan kontranya kerana Irfan tiada asas Mandarin. Irfan tetap dengan keputusannya dan ayat paling tak tahan apabila saya katakan yang belum tentu SJKC Hwa Min terima Irfan.
“Alah! Orang yakin Ibu boleh setel. Ibu kan pandai cakap.”
Hai la anak!

Waktu di SK Sungai Seluang saya kena ceramah perihal halal haram dengan salah seorang staf sekolah sebab nak tukarkan anak dari sekolah kebangsaan ke sekolah Cina. Saya diam sahaja, janji matlamat saya tercapai.

Di SJKC Hwa Min pula staf bertugas pada mulanya agak keberatan dan tepat tekaan saya, alasan mereka ialah mereka tidak boleh terima kerana Irfan tiada asas Mandarin langsung dan beliau ada bertanya Irfan ok atau tidak. Saya faham maksud soalan beliau. Anak saya dengan tangan sebelah dan tidak tahu Mandarin mahu ditukarkan ke situ. Jika saya di tempat beliau saya pun ada seribu tanda tanya.

Entah dari mana datangnya idea ini, mungkin sewaktu saya ke sekolah-sekolah beri motivasi kot, waktu di universiti dulu. Saya kongsikan dengan staf tersebut tentang anak-anak kecil ini sel otaknya seperti span dan sebenarnya boleh absorb 60 jenis bahasa. Inikan pula satu sahaja. Saya belasah saja. Entah betul entah tidak.Kih kih kih. Dan saya beri janji pada kerani tersebut dalam masa 3 bulan jika anak saya tidak boleh ikut pelajaran di situ saya akan keluarkan anak saya. Staf bertugas tersebut tersengih dan setuju. Irfan pun didaftarkan ke SJKC Hwa Min.

Huru hara sekejap hidup saya waktu itu. Mujurlah jiran-jiran saya yang kebanyakannya berbangsa Cina banyak membantu. Saya berjaya dapatkan tutor datang ke rumah. Irfan hanya ada satu bulan untuk belajar bahasa Mandarin iaitu bulan Disember 2005 sebelum memasuki darjah satu pada Januari 2006.

Bila difikirkan kembali memang kerja gila. Belajar dan belajar dalam masa sebulan. Kasihan sungguh pada Irfan waktu itu. 6 tahun. Pengasuh Irfan yang Irfan panggil Mak dan saya anggap seperti ibu angkat saya selalu menangis sebab saya keras benar dengan Irfan.
“Sudah sudah la Zura. Biaq la. Bagi rehat sama.”
Itu sahaja pilihan yang saya ada dan Irfan juga yang bawa saya ke game ini.
Alhamdulillah. Syukur Ya Allah. Semuanya di luar jangkaan saya. Sewaktu di SJKC Hwa Min dari darjah 1 hingga darjah 3 mereka tidak gradekan kelas.
Tetapi apabila masuk darjah 4 mereka tukarkan kelas mengikut keputusan peperiksaan.
Irfan satu-satunya anak Melayu di kelas pertama dari darjah 4 hingga darjah 6.
Allahuakbar.

Sesungguhnya perancangan manusia itu baik tetapi perancangan Allah SWT adalah lebih baik. Ibubapa anak kelainan upaya adalah insan hebat dan terpilih. Melalui anak kelainan upaya Allah SWT kirimkan pelbagai ilmu hebat yang tidak dapat dilalui oleh orang lain.
Anak kelainan upaya ini memberi kesedaran besar kepada ibu bapa tentang besarnya kuasa Allah SWT. Kita hanya merancang. Semua orang mahukan kesempurnaan, anak yang cukup sifat. Tetapi perancangan Allah SWT adalah lebih baik. Anak kelainan upaya sebenarnya menyucikan hati ibubapa dari perasaan riak.

Anak kelainan upaya ini juga ibarat mesin pengesan hati budi manusia. Melalui mereka Allah SWT tunjukkan pelbagai karektor manusia, baik, buruk, tulus, ikhlas, pura-pura dan bermacam-macam lagi. Karektor kita sendiri sebagai ibu bapa anak kelainan upaya juga, mereka dapat merasakan setakat mana keikhlasan kita.
Allah SWT juga kirimkan ilmu cekal dan tabah melalui anak kelainan upaya kepada kedua ibu bapa mereka. Hanya ibu bapa yang sabar, cekal dan tabah dapat mengemudi anak kelainan upaya. Mereka ini lahir dengan pelbagai keistimewaan yang perlu ditangani dengan baik oleh ibu bapa. Bukan sekadar tingkah laku tetapi juga hal-hal lain yang bersangkutan seperti pembelajaran, kewangan dan sebagainya.

Didoakan ada manfaatnya.
Panjang pulak. Idea mai di petang Jumaat.

‪#‎berbezaituok‬
‪#‎anakkutangan1hadiahdarisyurga‬
‪#‎yesvocket‬