Berbeza Itu OK!

Teks: Azura Abdullah
Foto: Azura Abdullah

Berbeza Itu Ok

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera,

Adanya anak kelainan upaya ibu bapa dihukum segelintir masyarakat sebagai balasan perbuatan masa silam.

Adanya anak kelainan upaya ibu bapa disabitkan kejadian kenan ketika mengandung.

Adanya anak kelainan upaya, ibu-ibu mengandung takut mendekati anak syurga kita ini.

Adanya anak kelainan upaya, segelintir ibu bapa lain agak sukar melepaskan anak-anak mereka yang normal untuk bermain bersama.

Adanya anak kelainan upaya, segelintir masyarakat skeptikal atas kemampuan anak syurga ini.

Sewaktu hari pertama darjah satu Irfan ditendang ketika beratur oleh pelajar di belakangnya.
Saya hanya memandang dari jauh.
Maka menitislah airmata ibu muda ini tanpa sedar, anak pertamanya diperlakukan sedemikian di hari pertama persekolahan.
Allah!
Tetapi Irfan kuat, Irfan buat biasa sahaja.
Timbul pula rasa malu pada Irfan, saya yang terlebih emosi.
Saya kemudiannya berjumpa guru kelas mohon sokongan agar tengok-tengokkan Irfan di sekolah.
Alhamdulillah, guru-guru semuanya sangat baik dan membantu.
Ketika itu di SJKC Hwa Min Lunas, Kedah.

Ibu bapa yang punya anak kelainan upaya, khasnya yang baru bergelar ibu dan dikurniakan anak syurga seperti saya, jika anda rasa mahu menangis, menangislah sepuasnya.
Kerana apa? Kerana kita manusia.
Bercakap dan memberi pendapat tidak sama seperti mana bahu yang memikul ini.

Saya mengambil masa sebulan untuk mengumpul kekuatan selepas melahirkan Irfan.
Setiap malam saya menangis memikirkan perkara yang belum berlaku.
Bagaimana jika saya dan suami menutup mata, bolehkah Irfan berdikari dan meneruskan hidup tanpa kami nantinya.
Selepas itu saya ok dan meneruskan langkah dan tidak menoleh ke belakang lagi.

Jadinya kepada rakan-rakan ibu bapa anak kelainan upaya yang dirahmati Allah swt sekelian…

Ini 3 PERKARA ASAS dan WAJIB ada pada anda untuk KEKAL POSITIF:

Asas #1 – Keluar dari ‘denial stage’ secepat mungkin. Terima kenyataan, ‘Ya, anak aku istimewa dan kelainan upaya’.

Asas #2 – Tewaskan diri sendiri sebelum anda mahu menewaskan orang lain. Kalau anda masih ada rasa ragu, malu dan sebagainya dengan kurniaan Allah SWT yang maha hebat ini makanya masih banyak tugasan hati yang perlu anda lakukan. Jadinya usah bermimpi anda boleh kebal dengan persekitaran negatif jika kurang kukuh asas ke dua ini.

Asas #3 – Usah bezakan anak OKU dan tidak OKU. Ini cara membaja motivasi dan membina keyakinan dalam diri anak samada yang istimewa atau normal.

Didoakan ada manfaatnya perkongsian ini.

Berbeza itu OK!

Semuanya di tangan kita.

Pilih!

‪#‎berbezaituok‬
‪#‎anakkutangan1hadiahdarisyurga‬
‪#‎yesvocket‬