Berbeza itu ok!

Teks: Azura Abdullah
Foto: Azura Abdullah

Lukisan tangan Irfan sewaktu darjah 2. Penuh imaginasi.  

Sedang saya membelek-belek kembali gambar-gambar lama anak-anak saya, terpandang ada nota di tepi gambar di atas tertulis “it’s ok to be different”. Gambar ini dilukis Irfan pada tahun 2008. Irfan darjah dua sewaktu itu.  ”Ibu, cepat ibu! Ada cerita tentang orang. Mai la tengok. Orang dah tengok cerita ni. Ibu kena tengok cerita ni”, ujar Irfan kepada saya sambil menarik tangan saya dari dapur. Masih terkenang saat itu. Manis.


Tajuk filem ini ialah “Front of The Class”. Kepada yang berminat untuk menonton filem ini bolehlah membuat carian Google dengan tajuk filem ini. Anda boleh memuat turun atau menonton terus di talian. Filem “Front of The Class” diilhamkan dari sebuah buku yang ditulis oleh Brad Cohen yang berjudul “ Front of the Class: How Tourette Syndrome Made Me the Teacher I Never Had “. 

Filem ini mengisahkan seorang kanak-kanak, Brad yang dilahirkan dengan Sindrom Tourette. Sindrom Tourette adalah kelainan pada saraf yang berciri khas iaitu pengulangan (repetitif), stereotip, pergerakan yang tidak disengaja, dan biasanya disebut dengan saraf yang tidak sedar (tics). Sindrom Tourette terjadi pada orang-orang dari semua kelompok etnik. Contoh sindrom Tourette terlihat dengan sering mengedipkan mata, mengalami ketegangan leher, mengangkat bahu terus menerus, kedutan pada wajah, mendecak lidah, latah dengan mengeluarkan kata-kata yang didengarnya bahkan kata-kata kotor. Sindrom tourette merupakan sebahagian dari tics disorder. Brad tinggal bersama ibunya yang merupakan ibu tunggal.

Sewaktu zaman persekolahannya Brad sering dipandang sinis oleh rakan malahan guru yang tidak memahami natural sindrom yang dialaminya. Hinggakan pada satu tahap Brad diarahkan gurunya untuk ke hadapan kelas dan memohon maaf secara terbuka kepada rakan-rakan kerana mengganggu perjalanan kelas. Walhal apa yang berlaku adalah diluar kawalan anak istimewa ini. Menyedari keadaan anaknya yang menghadapi kesukaran dalam kehidupan harian, si ibu bertungkus lumus membuat kajian sendiri melalui buku rujukan di perpustakaan melalui pemerhatian sindrom-sindrom yang ada pada diri anaknya. Akhirnya si ibu ini menjumpai kajian dan artikel tentang Sindrom Tourette yang sama dengan apa yang dialami anaknya. Si ibu kemudiannya mendapatkan pandangan pakar perubatan dan psikiatri dan konklusinya ialah tiada ubat yang dapat menyembuhkan penyakit ini. Ibu yang gigih ini tidak berputus asa dan terus berusaha untuk membolehkan anaknya sama-sama meneruskan kehidupan dan harapan satu harinya boleh berdikari.

Apabila dewasa Brad silih berganti cuba mendapatkan pekerjaan. Penolakan demi penolakan berlandaskan pandangan skeptikal ke atas golongan istimewa. Akhirnya berkat tidak berputus asa Brad berjaya mendapat pekerjaan sebagai seorang guru. Dugaan di alam pekerjaan pula menyusul Brad. Ada ibubapa yang tidak selesa dan merasakan anak-anak mereka takutkan perwatakan Brad dan ianya merupakan satu ancaman kepada anak-anak mereka. Walaubagaimanapun usaha tanpa jemu Brad disokong oleh ibunya telah melayakkan Brad si pengidap Sindrom Tourette untuk menerima Anugerah Teacher of The Year seterusnya menidakkan pandangan negatif masyarakat terhadap golongan istimewa dan berbeza sepertinya.

Brad kemudiannya berkahwin dan meneruskan kehidupan yang bahagia bersama keluarga seperti orang lain.

Berbeza itu ok!  Sebagai individu yang paling dekat dengan anak saya yang istimewa dan berbeza pada pandangan masyarakat adalah sangat penting untuk kita sendiri berjiwa kental. Jika tidak pasti kita tewas separuh jalan. Apatah lagi anak kita yang kononnya berbeza itu

Saya akan sambung coretan berdasarkan cerita ini di coretan seterusnya. InsyaAllah.

Wassalam.