10 Sebab Kita Perlu Bantu Adik Mimi

Teks: Azura Abdullah
Foto: NGO Wargakilang Kelantan

Mimi 5

Adik Mimi bersama Tuan Burhanuddin dari NGO Wargakilang Kelantan.

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera,

Perkongsian saya kali ini bakal memberi peluang bisnes kekal di alam “sana” kepada pembaca yang dikasihi sekelian. Adik Mimi dari Kuala Krai berumur 7 tahun dan mengidap penyakit ‘acute leukimia’ iaitu sejenis barah di dalam darah memerlukan sebanyak RM16,000 untuk proses kimoterapi terakhir beliau.

Bercita-cita menjadi doktor kerana mahu membantu mereka yang tidak mampu mendapatkan rawatan. Ah!Mulianya! Masih memikirkan orang lain di saat diri sendiri di situasi kritikal dan sangat memerlukan.

Ayah adik Mimi seorang penoreh getah. Abang sulong adik Mimi juga mengidap sejenis penyakit yang membawa kanser tetapi dipadamnya hal ini kerana mahu memberi laluan kepada adinda yang disayangi. Diketepikan dahulu keperluan diri untuk rawatan. Abang kedua adik Mimi di tahun akhir pengajian sarjana muda. Abang ketiga yang bekerja sebagai polis bantuan dengan gaji RM650 sebulanlah yang banyak membantu meringankan beban keluarga. Tetapi beliau juga pengidap tumor. Yang keempat pula sedang mengikuti kursus jahitan, beliau sendiri perlukan kos untuk rawatan buah pinggang. Allah! Beratnya dugaanmu wahai adik-adik sekelian. Berat benar. Mahu meneruskan ketukan di keyboard ini juga terasa sangat berat.

Mimi 2

Adik Mimi dan ibunya.

Adik Mimi memerlukan RM350 seminggu bagi kos perubatan dan susu khas. Bagi penoreh getah yang anak-anaknya berperang degan pelbagai penyakit kronik jumlah ini sangat besar. Malahan mustahil.

Adik Mimi juga hanya ke sekolah bagi 3 waktu subjek iaitu, Matematik, Sains dan English atas arahan doktor untuk mengelak dna meminimumkan jangkitan kuman. Abang adik Mimilah yang berulang alik menghantar dan mengambil setiap kali pertukaran subjek. Adik Mimi hanya berada di sekolah sewaktu subjek berkenaan sahaja. Ini semua kos bagi keluarga dhaif ini. Adik Mimi juga selalu bertanyakan ibunya kenapa beliau tidak dapat ke sekolah seperti kanak-kanak lain dan beliau takut tidak sempat ke sekolah kerana waktunya sudah singkat. Allah!

Mimi 4

Rakan-rakan yang dirahmati Allah SWT, dengan rendah diri saya memohon jasa baik kalian untuk menghulur barang seringgit dua buat adik Mimi ini. Ini kiriman dari syurga untuk kita. Kiriman bisnes akhirat yang besar.

Di sini saya kongsikan 10 sebab kenapa kita perlu bantu adik Mimi sekeluarga. Saya petik dan olah dari coretan Dr.Hj Azizan Osman perihal sedekah di dalam Majalah AO Tribe. Didoakan ada manfaatnya.

10 Sebab Kita Perlu Bantu Adik Mimi Sekeluarga

#1: Ciri-Ciri Orang Yang Beriman Dan Bertaqwa

Siapalah kita untuk mendakwa rezeki yang kita miliki hari ini milik kita. Semuanya adalah milik Dia. Dia tidak mahukan rezeki kita, tapi Dia hanya mahu kita belanjakan untuk jalannya. Moga makin kita belanja, makin kuat keimanan dan ketaqwaan kita.

#2: Cita-Cita Orang Sudah Mati Dunia Ingin Kembali Ke Dunia

Orang yang mati minta untuk kembali ke dunia untuk bersedekah. Kita yang hidup ini marilah berlumba-lumba mengambil peluang dari sisa waktu yang ada.

#3: Sedekah Menyucikan Hati

Bagi mereka yang merasakan akhlak tidak berapa baik, suka fitnah sana sini, tiada sehari pun hidup melainkan untuk mengeji manusia lain, bersedekahlah – ia menyucikan hati. Hanya diri kita sahaja yang tahu akhlak kita baik atau buruk. 

#4: Mendapat Payungan Di Hari Tiada Payungan Melainkan PayunganNya

Ketika kita semua di akhirat, matahari akan berada sejengkal di atas kepala. Masing-masing akan kepanasan sementara menunggu setiap amalan untuk dihisab. Tapi ada 7  kelompok manusia yang mendapat lindungan dan teduhan dari tuhan. Salah satunya mereka yang bersedekah dengan tangan kanan, dia menyembunyikannya sehingga tangan kirinya tidak mengetahui.

Saya yakin anda semua pernah terbaca akan hadis lengkap tentang perkara tersebut. Tapi bersedekah adalah antara perkara yang sangat mudah untuk dibuat oleh semua orang. Bagaimana nak buat supaya tidak ingat-ingat atau berkira bila bersedekah? Selalulah bersedekah dan jadikannya tabiat yang konsisten. InsyaAllah, kita tidak akan ingat berapa banyak yang telah kita sumbangkan.

#5: Sedekah Boleh Menghindarkan Diri Dari Bala & Bencana

Bala dan bencana merupakan kemudaratan kepada manusia. Sebagai hambaNya yang dhaif, kita memang tidak mampu untuk menggunakan kudrat hanya sebagai manusia untuk menolak kemudaratan atau apa sahaja malapetaka yang menimpa. Akan tetapi, Allah yang Maha Pengasih itu mengatur sesuatu aturan yang terbaik untuk hambaNya. Melalui sedekah, InsyaAllah, kita yakin pada kalamullah, malapetaka akan dapat dielakkan. Terlalu banyak hadis dan athar dari sahabat tentang sedekah boleh menolak bala. Ketahuilah, sekalipun seseorang itu banyak dosanya dengan tuhannya, sedekah mampu menjadi penyebab turunnya rahmat Allah swt dan tertolaknya bencana Allah swt.

#6: Penyebab Untuk Membanyakkan Lagi Harta

Hanya kuasa Allah memewahkan dan menyempitkan sesiapapun di kalangan hambaNya. Namun Dia langsung tidak pernah menzalimi hambaNya. Maka diberikan rezeki untuk setiap hambaNya. Dan Dia juga mahu tambahkan lagi rezeki tersebut, tapi dengan syarat hambaNya itu menderma. Makin bersyukur, makin ditambah. Tapi kalau kufur, pedih azabnya.

#7: Mendapat Kasih Sayang Allah SWT

Kata Rasulullah saw, “Sesungguhnya sedekah yang sembunyi dapat memadamkan kemarahan Tuhan.”

Memang tidak dinafikan, apabila seseorang itu menggembirakan makhlukNya yang lain, bukankah dia juga layak untuk mendapat kasih sayang dari Penciptanya. Maka tidak perlu hairan kenapa sedekah mampu untuk menidakkan kemarahan Allah. Dalam masa yang sama, bersedekahlah dengan seikhlas hati, agar semuanya diberkati.

#8: Penyembuh Penyakit

Kata Rasulullah saw, “Sembuhkan penyakit kalian dengan bersedekah”. Suatu hari seorang lelaki berjumpa dengan Ibnu Mubarak dan mengadu bahawa sudah 7 tahun dia menderita mengalami kesakitan di lututnya. Sesungguhnya dia telah mencuba pelbagai rawatan dan ubatan namun tiada satu pun yang berjaya dan berhasil. Tabib-tabib juga sudah tidak bermanfaat lagi baginya. Maka Ibnu Mubarak berkata padanya,“Pergilah kamu mencari kawasan yang manusia perlukan air, aku berharap penyakit mu akan beransur pulih.” Maka lelaki tersebut mengikut akan nasihat itu dan dia sembuh!

#9: Mendapat Perhatian Daripada Malaikat

Setiap pagi, akan datang dua malaikat yang mendoakan kita semua. Kata Nabi seperti mana yang pernah diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim, “Doa Malaikat setiap pagi ialah: Ya Allah, Engkau berikanlah kepada penyumbang itu gantian, dan Engkau berikanlah kepada orang yang kedekut itu kemusnahan.”

Alangkah istimewanya kehidupan para penyumbang. Mendapat doa yang bagus dari malaikat yang merupakan makhluk yang sentiasa bersama Allah.

#10: Ketenteraman Hati

“Syaitan itu menjanjikan (menakut-nakutkan) kamu dengan kemiskinan dan kepapaan (jika kamu bersedekah atau menderma) dan dia menyuruh kamu melakukan perbuatan yang keji (bersifat bakhil kedekut); sedang Allah menjanjikan kamu (dengan) keampunan daripadaNya serta kelebihan kurniaNya dan (ingatlah), Allah Maha Luas limpah rahmatNya, lagi sentiasa Meliputi PengetahuanNya. [Al-Baqarah: 268]

Ramai yang takut miskin bila bersedekah. Tahukah anda yang menakutkan kita semua tentang kemiskinan itu adalah syaitan? Lebih keji dari itu, selain melarang manusia bersedekah, mengajak pula ke arah kejahatan dan menjadi seorang yang bakhil. Ingatlah, ketenteraman hati itu apabila kita sentiasa mengingati Allah.

Terima kasih kerana membaca coretan saya ini hingga noktah terakhir. Jika tidak berkelapangan wang ringgit, saya dengan rendah diri memohon sedikit kelapangan masa rakan-rakan saya di sini untuk panjangkan perkongsian ini.

Derma boleh disalurkan kepada Wakil NGO Wargakilang, Saudara Aznee Othman. Hubungi beliau di talian  012-4323305.

Terima kasih.

Wassalam.