Ujian Banjir Besar di Kelantan Dis 2014-Jan2015

Teks: Azura Abdullah
Sumber Foto: Azura Abdullah & NGO Wargakilang

IMG-20150105-WA0010

Alhamdulillah.
Dapat kembali bersiaran dengan talian internet yang masih kurang sihat.
Saya mohon maaf kerana tiada update dari saya sepanjang banjir besar di sini.
Setiap kali menjelajah segenap pelusuk kampung yang dijamah amarah air, saya jadi terpaku.
Hingga tidak tahu yang mana satu gambar yang mahu saya ambil.
Akhirnya hanya memandang dan memandang sambil memikirkan bagaimana mereka ini mahu bermula kembali dari kosong.
Saya sekeluarga yang hanya dijentik sedikit sahaja amarah air dengan tenggelamnya kereta, laptop, gajet-gajet, dokumen, persiapan sekolah dll. Itu pun sudah cukup untuk membuat tidur saya terganggu.
Apatah lagi bila hujan lebat, hati mula berdebar dan sibuk mengintai di celah jendela…adakah air naik lagi.
Si kecil Isyraf juga sama, mengigau-ngigau yang air masuk kereta.
Trauma.

1420542298069

Berat mata memandang berat lagi bahu memikul.
Termenung si pakcik tua memikirkan kelangsungan hidup.
Rata-rata menjangkakan banjir biasa seperti saban tahun.
Ya, banjir biasa, banjir yang kita boleh nikmati airnya…banjir yang boleh anak-anak kecil bersukaria bermandi-manda.
Bukan banjir air teh susu pekat yang amat menakutkan.

1420542294496

Kepada sukarelawan, usah berkecil hati melihat baju-baju berlonggokan di tepi jalan.
Mereka ini tiada ruang pun mahu memikirkan logistik di mana mahu menyimpan pakaian yang datang.
Sesetengah dari kita ibaratnya mahu lapangkan almari di rumah, tidak diasingkan mengikut jenis dan ada yang layak dibuat kain buruk, ada juga yang dipek dalam plastik sampah sahaja.
Mereka ini rumah pun ibarat biskut yang direndam teh susu.
Semuanya binasa.
Mana mungkin ada masa mahu memikirkan hal sebegini.
Rumah berselut paras betis, bekalan air dan elektrik pun masih belum pulih sepenuhnya untuk mencuci.
Tempat paling kering hanyalah di tepi jalan.
Sekadar contoh berdasarkan pemerhatian saya di dalam group-group di media sosial.

Kita mahu bersedekah dan membantu, mari kita berbaik sangka.

Itu lebih afdal.

Terlalu banyak yang mahu mereka fikirkan untuk kelangsungan hidup.

740107031_74814

InsyaAllah.
Hujung minggu ini, Sabtu 10/1, NGO Wargakilang akan meneruskan misi Jalan2 Masuk Kampung Edisi Buka Sekolah yang telah pun dirancang awal sebelum banjir.
Bagi yang ingin turut serta atau menghulur sumbangan bolehlah hubungi Ketua NGO Wargakilang Kelantan iaitu Tuan Che Jaafar dan barisan aktivis yang aktif iaitu TuanAmran Haji Abu Bakar, Tuan Burhanuldin Mohammad, Cik Puan Zarina Nawawi, Cik Puan Rosminah Mohd Yusoff atau saya sendiri.

 

Akhir kata terima kasih tak terhingga buat semua yang sudi berkorban masa, wang ringgit dan tenaga untuk rakyat Kelantan. Hanya Allah swt yang dapat membalasnya.

Terharu saya ada seorang Dato dan rakan-rakannya dari NGO Wargakilang memilih untuk berteduh di Surau Pulai Chondong beberapa hari dari memilih hotel atau homestay semata-mata untuk menyantuni rakyat Kelantan yang dilanda musibah besar ini.
Terima kasih. Terima kasih. Terima kasih daun keladi.
Jemput datang lagi.

Sumber Foto: NGO Wargakilang & Azura Abdullah
#banjirbesarkelantan