Apa Yang Kita Mahukan ?

Teks : Azura Abdullah
Foto : Azura Abdullah & Carian Google

Assalamualaikum & Salam Sejahtera.
Moga para suri di luar sana kekal bersederhana dalam mengharungi bulan Ramadhan barakah ini. Suasana sunyi sekali sekarang. Anak-anak masih tidur, meja saya di ruang tamu menghadap taman kecil menghijau dan deruan air dari kolam mini hasil tangan suami memberi peluang saya berkonsentrasi. Alangkah indahnya jika satu hari nanti saya dapat memulakan rutin sebegini dengan bekerja sepenuh masa dari rumah. Itu impian saya! Bagaimana pula anda? Soalan ini berbalik kepada apa yang anda cari dalam kehidupan anda. Jika wang ringgit dan kerjaya hebat bermajikankan orang lain yang dicari, itulah yang perlu anda strategikan dan itulah yang anda bakal dapat. Tetapi tidak bagi saya. Pastinya prioriti hidup semua orang berbeza. Yang penting kita mesti tahu apa yang kita mahukan dan mulakan langkah.

Keadaan laman rumah waktu pertama kali berpindah 14 tahun yang lalu.
Kagum dengan kegigihan suami, 3 bulan siapkan taman dengan tangan
sendiri hanya menggunakan waktu selepas pejabat,

Ini anak istimewa saya yang hebat sewaktu berumur kurang satu tahun.
Tak sempat-sempat nak rasmi kolam abah buat.

Saya bukanlah seorang yang mengejar kerjaya sukses bermajikankan orang lain, itu bukan prioriti saya. Sebab itu lah setelah beberapa tahun menerajui satu jabatan, saya berbincang dengan majikan dan mengambil keputusan untuk menjadi “individual contributor” dan terus bekerja tanpa perlu mengurus sekumpulan pekerja. Ianya memberi kelebihan masa kepada saya selepas waktu kerja. Saya mahu kelebihan itu dikongsi dan dimanfaatkan bersama keluarga kerana susah senang kita hanya keluarga yang akan bersama kita, bukannya majikan kita. Ramai rakan yang bertanya kenapa saya mengambil keputusan sedemikian kerana saya punya potensi untuk pergi jauh dalam bidang pengurusan. Jawapan saya mudah, prioriti hidup kita berbeza. Tepuk dada, tanyalah diri anda.

Sewaktu memegang teraju mengurus sekumpulan pekerja dahulu, saya sering tak cukup masa, kerja dan hal-hal pejabat pastinya bersambung di rumah, tiada noktahnya. Siapa cakap mengurus orang itu mudah. Bukan setakat hal yang benar-benar berkaitan kerja yang perlu anda tangani, malahan hal-hal emosi berkaitan pekerja juga anda tak boleh lepas pandang. Kerana ianya memberi impak yang bukan sedikit.

Moralnya di sini, anda perlu tahu apa yang anda mahu dan apa matlamat anda di penghujungnya. Dan bagi saya, moga saya tak perlu lagi bermajikankan orang lain di kala umur pencen saya nantinya.

Jika prioriti hidup anda adalah seperti saya, mulakanlah langkah pertama dari sekarang. Nanti dulu, saya masih ok, nanti dulu, saya masih ok. Jika kita terus dengan 2 ayat itu sedar-sedar usia kita dah lewat, anak-anak dah besar tapi masih belum memulakan langkah. Untung jika anda tidak diduga dan ada halangan ditengah jalan sepertimana saya yang diuji Allah swt dengan kesihatan suami (boleh rujuk entri ke-2 saya), tetapi alhamdulillah, bisnes sambilan saya penyelamat besar kami sekeluarga. Terima kasih Allah swt di atas petunjukmu.

Tiada langkah ke dua dan ke tiga tanpa langkah pertama. Bermulalah!

Hingga ke temu lagi.