Akhlak Berdakwah

Teks: Azura Abdullah
Foto: Azura Abdullah

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera,

Kosong benar hari ni. Sudah cuba dengan sesungguh hati untuk memandang sekeliling dengan mata hati. Masih kelam. Segalanya di sekeliling bagaikan beku, tiada cerita.

Hanya Isyraf sahaja yang berjaya menggeletek hati. Berjaya sauk Awe si meow berwarna oren masuk ke dalam penyauk ikan. Kaedah mancing di darat katanya. Adeh!

Setiap hari sebelum tidur saya doakan Allah swt temukan saya dengan satu cerita yang boleh saya kongsi bersama pembaca.
Saya mahu berkongsi perkara yang saya sendiri boleh belajar dan ambil ingatan daripadanya.

Hari ini hampir berlabuh kosong.

Newsfeed tentang Tuan Muda #safieyilias melintas.
Saya follow beliau semenjak beliau cantik jelita menggunakan nama Sofea Ilias. Saya follow lebih kepada keperluan menyedut ilmu bisnes, kagum dengan semangatnya.

Antara yang membuatkan saya tertarik untuk mengikuti beliau dahulu (masih Sofea waktu itu) ialah apabila saya terbaca satu status, soalan dari followers kepada beliau bagaimana mahu mengurus keluarga yang bergantung hal kewangan dengan kita walhal kita ini baru sahaja berniaga dan baru sahaja nak merasa manisnya. Lebih kurang macam tu lah maksudnya. Saya tidak begitu ingat soalannya secara terperinci.

Sangka saya beliau akan memberi konsultansi dari aspek mengurus wang. Rupanya beliau sanggah soalan tersebut dengan lembut, bertanya kembali jika dengan manis yang sedikit Allah swt beri pun sudah teragak-agak untuk berkongsi dengan ibu bapa serta keluarga, bagaimana mahu mengurus manis yang lebih besar dan beliau beri penekanan tentang ‘ikhlas’ dengan ibu bapa serta keluarga sebagai kunci untuk berjaya.

Dang! Saya memang tersentap membaca jawapannya.
Saya terus follow beliau. Makin saya follow saya pula jadi makin keliru. Keliru saya kerana status beliau penuh dengan nasihat dan ingatan untuk kita kembali ke agama. Tetapi penampilan beliau yang tidak seiring dengan status beliau buat saya ingin tahu dengan lebih mendalam lagi…pasti ada sesuatu.

Hah! Betul firasat saya. Hari-hari saya akan pastikan saya membaca status beliau. Status beliau di HKL mengiyakan apa yang bermain di hati saya selama ini.

Sayu saya baca semua perkongsian beliau untuk kembali semula ke fitrah kejadian sebagai seorang lelaki. Penuh cabaran.

Satu perkara penting yang selalu kita ambil mudah ialah AKHLAK kita dalam berdakwah. Tuan Muda Safiey sendiri yang dahulunya seorang maknyah mengaku akhlak kita yang kasar dan keras dalam berdakwahlah antara punca yang membuatkan golongan mereka ini makin jauh, makin jauh dan makin jauh.
Tugas kita menyampaikan (dengan akhlak Islam) dan bukan menghukum.
Hidayah itu Allah swt pegang.

Benar kata Dr.Zakir Naik, jika hendak mengenal Islam, kenali Al-Quran, bukan dilihat pada orang Islam itu.

Saya cuba semak kembali fail-fail saudara baru yang pernah saya temuramah untuk Majalah Era Muslimah sepanjang tahun 2015 dan 2016, ruangan ‘Kembali Ke Fitrah’, kembali kepada Islam dari berbagai agama lain.

Sama juga konklusinya sebagaimana yang ditekankan oleh Tuan Muda Safiey Ilias. Majoriti mereka tertarik untuk mengenali Islam dengan lebih mendalam melalui AKHLAK Islam yang dibawa oleh rakan-rakan mereka. Dan kebanyakan dari saudara baru ini kecewa dengan akhlak keras kita yang lahir sebagai Islam keturunan ini.

Lembut sekali bagaimana isteri Sheikh Sulaiman mendekati Tuan Muda Safiey untuk mengenal Allah swt.

Azura Abdullah
Perempuan, Isteri, Ibu & Anak

#telegramdarilangit