3 Sebab Utama Kita Perlu Santuni 23 Keluarga Ini

Teks: Azura Abdullah
Foto: Tuan Amran Hj.Abu Bakar

Antara asnaf-asnaf yang akan disantuni dalam misi Jalan2 Masuk Kampung Pulau Pisang, Kota Bharu pada 13hb Jun 2015 ini

Antara asnaf-asnaf yang akan disantuni dalam misi Jalan2 Masuk Kampung Pulau Pisang, Kota Bharu pada 13hb Jun 2015 ini

Bismillah.
Alhamdulillah. Dengan izinNya pasukan riki NGO Wargakilang Chapter Kelantan diketuai oleh Tuan Tuan Amran Hj Abu Bakar telah menyelesaikan tugasan riki dengan turun padang mengenal pasti 23 keluarga yang akan disantuni dalam misi Jalan2 Masuk Kampung ke Pulau Pisang, Kota Bharu pada 13hb.Jun, 2015 nanti.

8 daripadanya merupakan ibu tunggal dan seorang masih bersuami tetapi suami jarang pulang. Ibu-ibu tunggal ini perlu menyara anak yang ramai tanpa punca pendapatan yang tetap dan amat minima hingga ada yang sms Kak Rosminah Yusof (salah seorang aktivis) kerana keadaan sangat mendesak, tiada makanan di rumah. Di antara mereka ada yang perlu menjaga anak OKU dan mereka sendiri pula ada yang diuji dengan sakit kritikal.

Terdapat 5 orang pakcik tua yang uzur hidup sebatang kara kerana tidak berkahwin. Bakinya dari kalangan asnaf yang berkeluarga lengkap (suami, isteri, anak-anak), dengan hanya bekerja sebagai buruh kasar dan kerja-kerja kampung seperti mengupas kelapa, membuat penyapu lidi dan sebagainya untuk menyara keluarga.

3 Sebab Utama Kita Perlu Santuni 23 Keluarga Ini.

1. Pinjamkan senyuman buat seketika.
—————————————————-
Kita memang tidak akan mampu menyelesaikan masalah kemiskinan keluarga-keluarga ini secara total tetapi sekurang-kurangnya dapat kita pinjamkan senyuman buat seketika dengan berkongsi sedikit rezeki yang kita ada. Paling tidak dapat dilupakan ialah bagaimana anak-anak kecil menyerbu dan menyelongkar setiap isi bungkusan setiap kali kami berlalu sahaja dari lokasi. Biskut pelbagai rasa di dalam tin itu barang makanan mewah bagi mereka. Pensil jenama Stabilo dan Faber itu barang mewah bagi mereka. Barang mainan terpakai juga barangan mewah buat mereka.

2. Kelangsungan hidup.
———————————
Ramadhan hampir tiba, kita sudah sibuk dengan persiapan hari raya tetapi tidak bagi mereka. Kelangsungan hidup lebih utama. Dengan sumbangan serba sedikit yang bakal kita sampaikan nanti sekurang-kurangnya keluarga ini tidak perlu risau tentang makan minum anak-anak buat seketika khasnya di bulan Ramadhan al-mubarak, juga tentang pakaian raya anak-anak sempena Syawal nanti.

3. Doa ikhlas dari mereka yang kita sentuh hatinya.
——————————————————————–
Semoga sumbangan kecil kita mendapat barakah dan berada di dalam doa mereka. Doa mereka ini ikhlas dari lubuk hati kerana mereka tiada apa yang dapat diberi sebagai galang ganti kepada sumbangan kecil kita ini. Saya terkenangkan ketika suami sakit angin ahmar selama 2 tahun beberapa tahun dulu dan hingga ada di kalangan ahli keluarga yang berputus asa. Selain dari usaha sains dan perubatan Islam, saya berpegang pada pesan mantan YDP NGO Wargakilang, Tuan Monier Mat Din perihal kiriman doa tulus ikhlas dari mereka yang tidak berupaya dan kurang bernasib baik ini. Sepanjang 2 tahun itu saya sendiri perit dari segi kewangan kerana belanja perubatan yang tinggi tetapi saya simpan sendiri hingga ke dua ibu bapa saya pun tidak dapat menghidu. Saya mencari kekuatan bersama NGO Wargakilang (secara fizikal & usahakan sumbangan dari rakan-rakan) hanya kerana satu perkara, kerana saya mengharapkan bantuan doa dari mereka ini. Dari mereka yang kita sentuh hatinya.
InsyaAllah.

Untuk mengetahui serba sedikit latar belakang keluarga-keluarga tersebut boleh klik di sini ya Profil JJMK Pulau Pisang June 13_tanpa nama . Tetapi maklumat seperti nama, nombor IC dan telefon saya tidak paparkan.

 

Untuk menyalurkan sumbangan, anda boleh hubungi saya sendiri atau rakan-rakan saya Tuan Che Jaafar, Tuan Amran Haji Abu Bakar, KakRosminah Mohd Yusoff, Tuan Burhanuldin Mohammad, Tuan Pehin Seri, Cik Puan Zarina Nawawi, Tuan Ab Kahar, Kak Wan Normah Wan Ismaildan Tuan Farhan Paan.

Bagi pihak NGO Wargakilang Kelantan saya juga ingin menjemput rakan-rakan yang berkelapangan untuk turut serta bersama kami menyantuni keluarga-keluarga ini. Acara dimulai pada jam 8.30pagi dengan berkumpul di Masjid Zairiz Al-Iman, Kedai Buluh, Jalan Kuala Besar, Kota Bharu, Kelantan. Sarapan pagi ada disediakan. Jam 9.00-9.30pagi mula bertolak ke rumah-rumah asnaf.

Terima kasih tidak terhingga kepada semua rakan-rakan di sini atas sokongan kalian.
Hanya Allah SWT yang dapat membalasnya.